Aku sedang hanyut dalam tenang sambil menikmati nyanyian Afgan - PadaMu ku bersujud - tatkala telefon di sisi berdetik mengisyaratkan teks SMS masuk. Rupa-rupanya ia juga dari bekas rakan pekerja di organisasi lama. Terpanggil untuk mengetahui kandungannya, aku lantas mencapai telefon dan membaca isi tulisan yang terpapar. Sudah kesekian mereka yang memanjangkan berita.
Tak mudah sejak tiada, banyak yang dah berubah dalam masa yang belum pun sepurnama! Itu antara intipati tulisannya. Dia mengeluh kerana kekosongan yang ku tinggalkan rupa-rupanya menjadi titik mula kepada pelbagai perkembangan yang kurang menyenangkan. Dia sendiri antara yang paling terkesan. Tempat bertugas yang selama ini umpama syurga kedua dunia selepas Baiti, tetiba berkocak lantaran begitu ramai "semut" yang menghurungi "baki gula" yang ditinggalkan. Pihak-pihak yang selama ini menahan diri lantaran mungkin rasa 'segan' pada yang meninggalkan, kini saling mengorak langkah membentuk saf masing-masing. Ironinya, yang 'berkejar' bukanlah orang yang di dalam yang sekian lama berjuang, tetapi orang-orang yang selama ini di pinggiran dan bersikap oportunis pada perkembangan organisasi. Waktu senang, datang; waktu susah, menyisihkan diri.
Demikianlah lumrah alam. Ramai yang ingin duduk di puncak persada, namun tak ramai yang sanggup mendaki sejak dari lembah cenuram. Hakikatnya, mereka umpama hyena atau 'dubuk' yang apabila singa meninggalkan bangkai santapannya, maka saling 'bertaki' lah mereka berebutan. MasyaALLAH!
Aku sekadar mampu memahami. Pintaku pada mereka, pulangkan semuanya kepada yang Maha Kuasa. Ini semua hanyalah pinjaman dariNya. Malah diri kita ini juga adalah pinjaman dariNya.
Tatkala kehilangan atau diuji, maka saling kita ingat mengingatkan diri pada pesan bicara kekasihNya:
Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun
WALLAHu A'lam.
0 Response to "Semut Dan Gula..."
Post a Comment