Ini teknik yang dirintis oleh Bert. Hasil keuntungannya, jika diizinkan ALLAH, SubhanAllah.. lumayan sungguh! Tapi jika sebaliknya, MasyaALLAH.. memang sangat memeritkan!
Hari ini aku mencubanya. Meskipun di awal pelayaran aku berjaya memperolehi hasil tangkapan yang sangat menggalakkan, namun malam ini aku akhirnya kecundang. It's really not my cup of tea, Bro.. Aku kerugian USD250!
Fuhh!! Pedih rasanya. Namun ku kira ia wajar ku anggap sebagai 'yuran belajar' hangus. Setidak-tidaknya, aku kembali ingat pada intipati pelajaran terdahulu.. "Stick to the trading plan!"
Apapun, buat Bert, teruskan dengan apa yang diyakini. Setiap dari kita berbeza, dan punyai kemampuan yang berbeza. Semoga berjaya!
Terima kasih, sahabatku, kerana sudi berkongsi!

Aku sering bersungguh-sungguh dalam setiap yang aku kerjakan. Namun tidak semua insan melihat kesungguhan sebagai sesuatu yang indah. Ramai yang lebih gemar berselindung di sebalik kepuraan sekadar untuk dilihat mulia dan terpuji. Apalah ertinya mulia di mata insan, jika ia terpesong dari pengertian kemuliaan di pandangan ALLAH. Itu fikirku. Namun, siapa peduli dengan apa yang ku fikirkan. Dunia ini landasan buat insan mengejar kemahsyuran. Pangkat dan wang adalah segala-galanya buat insan dunia.
Bencikah aku pada dunia? Tidak. Aku tidak bencikan dunia. Cuma fikirku, tidak perlu dilontar jauh cinta akhirat jikapun cintakan dunia. Fikirku, tidak salah mengejar apa yang dihampar Tuhan di muka dunia ini, asal sahaja tidak hilang pedoman kompas menuju pelabuhan akhirat yang kekal abadi.
Berlapang dada. Itu lintasan di benakku saat ini. Tidak perlu ego dan sombong diri. Ego dan sombong diri hanya akan membawa kehancuran. Itulah penyakit hati yang singgah di hati Azazil di saat Yang Maha Esa memerintahkan seluruh para malaikat sujud kepada kejadian Adam AS. Dan akhirnya, Azazil yang kini bernama Iblis dilaknat ALLAH lantaran sombong-bongkaknya menafikan perintahNya semata-mata merasa diri lebih mulia. Kemuliaan yang hakikatnya di pandangan diri sendiri, tetapi bukan kemuliaan di sisi ALLAH Azza Wajalla. Na'uzubillah.
Ya ALLAH, lindungi kami, hambaMu dan umat Muhammad SAW, dari segala penyakit hati yang memesongkan dan memudaratkan iman dan taqwa kami. Tiada daya upaya kami untuk menyempurnakan urusan & tanggungjawab kami, melainkan dengan izin dan redhaMu. Isikan hati-hati kami dengan cahaya hidayah dan rahmatMu. Amin ya Rabbal Alamin.
Alhamdulillah. Walau sekadar memukat di laut dekat, ALLAH tetap menganugerahiku rezeki. USD13.54. Memang kurang dari kebiasaan, namun sedari awal aku sendiri sekadar 'bermain-main' di laut dekat. Maha Suci ALLAH, sesungguhnya Kau Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Alhamdulillah.
"Jika kamu inginkan dunia hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat dengan ilmu. Dan jika kamu inginkan kedua-duanya, juga dengan ilmu."
Imam Al-Ghazali R.HM. pula menegaskan dalam kitabnya Minhaj al-Abidin, bahawa tahap pertama dalam perjalanan seorang hamba menuju ALLAH ialah tahap ilmu, kemudian barulah menyusul tahap taubat, awaiq (penghalang), awarid (godaan), pendorong, celaan dan akhirnya syukur. Bahkan beliau mengingatkan, "ilmu itu imam, amal itu makmumnya."
Lihatlah tertib yang sangat indah ini. Semuanya bermula dengan kalimah "bacalah!". Tegasnya, dengan bertitiktolakkan "bacalah!", seseorang akan dibawa melalui proses mengenal, mencintai & mematuhi ALLAH.
Demikian beberapa potongan perenggan yang ku kutip dari majalah Solusi keluaran terkini. Semoga kita sama-sama menghayati dan memahami hakikat tingginya ilmu di sisi ALLAH. InsyaALLAH.
Di sisi yang lain, aku bersyukur dengan anugerah ALLAH kepadaku melalui pelayaran semalam. Dengan izinNya, aku berjaya meraih tangkapan berjumlah USD153.00. Daripada jumlah tersebut, 20% ku perolehi melalui strategi Duplex, sementara selebihnya secara tangkapan pukat. Alhamdulillah.
Hari ini, aku masih belum pasti samada akan berkesempatan turun ke laut lagi, memandangkan tugasan yang agak padat di pejabat. Namun seandainya ALLAH mengizinkan, aku harap rahmat dan pertolonganNya akan sentiasa ada buatku. Amin Ya ALLAH.

Amin Ya Rabb.
(PEN-OFF 1.20pm)

Terima kasih Ya ALLAH. Di atas anugerahMu ini. Izinkan aku beristiqamah dengannya. Semoga Kau redha pada kami, Amin Ya Rabbal Alamin.
Alhamdulillah....