Maha Suci ALLAH yang memiliki seluruh alam ini.
Aku baru sahaja melabuhkan punggung ke kerusi di anjung. Sambil menulis bait-bait aksara di dada hamparan Traderlog ini, mataku mengerling kerap ke arah laut lepas. Lenguh dan kebas anggota tubuh masih terasa, dek 'penangan' hempasan gelora pelayaran sebentar tadi. Pun begitu, aku puas! Hatiku berbunga mengenangkan perolehan tangkapan hari ini dan hari semalam. Namun, hatiku lebih berbunga mengimbas kenangan indah hampir 'mabuk' diuji dugaan dariNya dalam pelayaran tersebut. Aku insaf. Betapa kerdilnya kita sebagai makhlukNya cuba menggarap limpahan rezeki yang ditaburkan di seluruh pelosok alam ini.
Aku insaf. Benar-benar menginsafi hakikat tersebut. Tanpa kasih dan sayangNya, tiada apapun yang mampu kita gapai di kehidupan ini.
Pelayaran hari semalam bermula dengan baik. Namun, buat pertama kalinya, aku diuji dengan kesilapan teknikal yang sangat mengecewakan. Di saat aku hampir pasti mampu mendaratkan hasil tangkapan awal yang lumayan, aku baru menyedari berlakunya kesilapan teknikal yang tidak boleh ku maafkan diri ini. Akhirnya aku pasrah, menerima hakikat bahawa rezekiku belum diizinkanNya waktu itu. Terkesima. Enggan mengalah, maka setelah pulih semangat diri, aku berjuang habis-habisan untuk kembali menggagahi pelayaran. Syukurlah, meski terpaksa berada di dada laut melepasi dinihari, akhirnya ALLAH mengizinkan rezeki buatku. USD143.95. Alhamdulillah.. berbaloi menanti.
Pelayaranku hari ini pula mengajarku erti tabah dan yakin. Tabah, dengan dugaan hempasan ombak yang sering mengelirukan dan memerangkap para nelayan. Yakin, dengan janji ALLAH bahawa setiap penyerahan diri kepadaNya pasti akan memperolehi rahmat dan kasih-sayangNya. Hari ini, Ultimate X5 benar-benar diuji dengan lambungan dan hempasan badai yang sangat ganas. Bukan satu, tetapi dua pusingan. Berturut-turut, dengan sela masa hanya sebatang rokok! Ironinya, kedua-duanya berlaku di perairan yang sama, iaitu ketika London open.
Dalam kedua-dua situasi, jejaran pukat yang terpaksa dilabuhkan benar-benar merunsingkan. Margin yang digunakan juga telah mencecah angka USD2000 ++ pada suatu ketika. Syukurlah. Masih ada kasih-sayang ALLAH buatku. Malahan, inilah pencapaian tertinggi harian yang pernah ku rasai selama aku berjinak-jinak dengan dunia bernelayan ini. Dengan nilai PI = 19,851.70, ALLAH mengizinkanku memperolehi hasil tangkapan bernilai USD595.55. Alhamdulillah, terima kasih duhai Penciptaku. Sesungguhnya, tiada daya dan upayaku melainkan dengan rahmat dan redhaMu.
ALLAH. Tuhan Yang Maha Agung.
0 Response to "Kasih Sayang ALLAH"
Post a Comment