Aku cuba melelapkan mata. Namun semakin ku cuba, semakin aku lemas dalam kegelapan malam. Lantas fikirku, lebih baik aku rakamkan sahaja rasa hatiku di dada hamparan Traderlog ini.
Fikiranku menerawang dengan perkembangan terkini kerjayaku di pejabat. Saat ini terasa agak getir dengan satu dua perkara yang tiba-tiba memaksa aku untuk memikirkan kemungkinan untuk aku dan isteri memilih nelayan forex sebagai wadah kelangsungan hidup secara penuh masa. Mengapa tidak, sesungguhnya kami sekeluarga lebih damai setiap kali menghirup udara laut berbanding kehidupan kerjaya sofistikated di pejabat. Malah, kami semakin dapat menghayati hakikat kewujudan kami sebagai hambaNya sejak kali pertama kami menyentuh gigi pantai dan halus pasirnya.
Kami dapat merasakan sedalam-dalamnya betapa kerdilnya diri setiap kali turun ke laut. Segala-galanya "direct" dan "cash". Izin, rahmat dan redhaNya adalah paling utama. Untung atau rugi menjadikan kami lebih mensyukuri dan pasrah kepadaNya. Jelas kami dapat merasakan seakan berkomunikasi langsung denganNya. Pada setiap saat. Setiap detik. Setiap pip. Setiap untung dan rugi.
Jelas. Kami belajar memohon doa seikhlas yang mungkin kepadaNya. Kami belajar berserah seikhlasnya kepadaNya. Kami belajar mentaati dan menuruti perintahNya dan wasiat kekasihNya. Demikianlah indahnya dunia baru kami. Dunia nelayan forex. Semoga Kau merahmati dan meredhai kami, Ya ALLAH. Amin.
Kotak fikiranku kembali mengimbas saat-saat indah dan getir dalam kami bernelayan. Sejak kali pertama kami memberanikan diri menceburi dunia baru ini. Alhamdulillah! ALLAH sentiasa membantu. Malah sebentar tadi, suasana pasca-NFP di perairan memberikanku hasil tangkapan yang melebihi daripada target harianku. USD100.87. Walaupun pada awalnya aku begitu banyak melakukan kesilapan sehingga hilang sebahagian besar hasil tangkapan sulungku hari ini, namun di akhir usaha, Dia tetap mengizinkan rezeki yang baik buatku. Itu belum lagi diambilkira suasana perairan yang sangat sukar memandangkan hembusan bayu NFP malam tadi tidak seghairah kebiasaannya. Terima kasih Ya Rabb.
Aku benar-benar kembali yakin dan bersemangat. RahmatNya kepadaku pada hari sebelumnya sebanyak USD131.79 menambahkan istiqamahku. Diam-diam aku berazam, moga dapat aku berusaha mengekalkan prestasi ini. Kita wajib berusaha, agar layak menerima anugerahNya. Itu janjiNya. Janji Tuhan seru sekelian alam!
Ya ALLAH, berikanlah kami petunjuk dan hidayahMu untuk kami menjustifikasi penghijrahan ini di dalam cahaya redhaMu.
Amin Ya Rabbal Alamin.
0 Response to "Dunia Baru"
Post a Comment