Alhamdulillah, hari ini adalah hari pertama selepas setahun genap aku terlibat secara aktif turun bernelayan ke lautan Forex. Dalam lain perkataan, dah pun genap setahun aku trading Forex secara "full-time" (sekali lagi, bukan pula bermakna aku kini telah berstatus 'full-time trader'!). Tanggal 28 Januari 2010 adalah tarikh keramat di mana Ultimate X5 didaftarkan secara rasmi dengan kapasiti kekuatan enjin sekitar 3500 cc. Sebelumnya, aku hanya sekadar 'bersampan kolek' di waktu-waktu senggang sejak mula mengenali dunia Forex kira-kira 5 tahun yang lalu. Alhamdulillah..
..Sejak setahun yang lalu, jika tiada sebarang aral melintang, insyaALLAH setiap hari aku akan cuba mencari kesempatan untuk ke laut, walau seringkali terpaksa juga beralah dengan keperluan komitmen tugasan di pejabat. Syukur kehadratNya kerana Dia masih mengizinkanku meneruskan kerjaya tetapku di dalam bidang pendidikan tinggi swasta yang telah hampir 15 tahun aku bergelumang hidup.
..Menjalani dua kehidupan kerjaya serentak sebenarnya punyai rahmat yang terindah. Di saat fikiran dan hati terkadang terlalu tertekan dengan kerjaya di pejabat; hembusan bayu dan deruan ombak lautan Forex seringkali membawa ketenangan jiwa dan kerehatan minda kepadaku. Namun, tidak ku nafikan, kekangan masa adalah antara cabaran utama yang harus diatur secara bijak. Jika tidak, mahu "simpang-perenang" diri dibuatnya!
..Sungguhpun begitu, dunia nelayanku tidaklah semudah dan setenang yang dibayangkan sebagaimana awalnya. Bergelumang dengan hempasan dan pukulan badai, tidak mudah sebenarnya untuk kekal relevan! Setiap kali turun ke laut, pasti ada sahaja cabaran dan dugaan yang harus dihadapi. Setiap "trade" adalah sesi yang berbeza dan rekod sebelumnya tidak berkait secara eksklusif dengan sesi semasa mahupun akan datang. Bidang Forex memerlukan kebijaksanaan dan kefahaman yang mendalam tentang Mr Market dan 'suku-sakat'nya! Namun yang paling utama - malahan tidak sahaja dalam bidang ini - kesemuanya mendambakan keredhaan yang mutlak dari ALLAH yang Maha Kuasa! SubhanALLAH..
..Meniti hari-hari mendatang, aku berazam untuk lebih relevan dan istiqamah untuk kekal berdaya saing dalam dunia nelayan Forex. Memang mudah berbicara, namun tiada yang mustahil jika ALLAH redha dan memberikan keizinanNya. Kita sebagai hamba dan makhlukNya, sesungguhnya wajib meyakini sifat Maha KuasaNya.
..Bagi ALLAH tuhan sekalian alam, ianya semudah, 'kun kun fayakun'..
..Maha Suci ALLAH!
0 Response to "Setahun Bergelar Nelayan Forex.."
Post a Comment