3 hari 2 malam.
Bukannya tempoh pakej percutian, tapi itulah tempoh sedetik ini pelayaranku sejak turun ke laut Isnin lalu. Aku masih "sangkut" di tengah laut. Angin mati pada Isnin, disambut pula oleh sesaran arus yang berterusan ke selatan semalam; nampaknya perit sungguh kali ini! Aku hampir-hampir hanyut lantaran kesilapan perletakan pukat yang berselirat kerana cuba mengimbangi arus yang membadai. Malahan, sebahagian tangkapan terpaksa ku lepaskan kembali ke laut semata-mata bagi memastikan kestabilan Ultimate X5 yang agak terjejas dipukul badai. Syukur ke hadratNya, setidak-tidaknya hari ini aku dibantuNya kembali ke lokasi kemudi yang asal. Alhamdulillah.
Saat ini, aku sedikit lega kerana pukat yang dilabuhkan sudah mulai dipenuhi tangkapan. Namun, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Demikian bisik hati kecilku. Aku bercadang untuk terus kekal di tengah lautan sehingga tangkapan maksimum diperolehi. Semoga ALLAH swt mengizinkannya berlaku.
Demikianlah kehidupan seorang nelayan. Ada hari-harinya, pelayaran dan tangkapan begitu mudah dan memuaskan. Namun, seringkali juga laut dan badai menjadi asbab, cuba menguji percaturan strategi yang dibuat. Segala-galanya adalah anugerahNya. Dan sebagai hambaNya, kita hanya mampu merancang.. Dia yang menentukan segalanya.
Semoga Kau memberikan kami petunjuk dan ketabahan untuk melalui ujianMu dengan redha dan jaya.
Amin Ya Rabbal Alamin.
0 Response to "3 Hari 2 Malam.."
Post a Comment