Detik ini adalah detik itu. Imbauan 31 Ogos 1957 menghimpun pelbagai rasa dan asa. Kini, 53 tahun telah berlalu. Dan hari ini adalah kesinambungan tarikh keramat itu. Negaraku Malaysia, menginjak setahun lagi menempuh usia kedaulatannya.
Alhamdulillah. Terima kasih Ya ALLAH. Meski aku sekadar insan kerdil, namun anugerahMu ini amat indah. Dalam usiaku yang masih belia, aku cuba menjarah erti kemerdekaan yang sebenarnya. Ku kira aku bertuah, kerana pernah dalam usiaku menikmati perjalanan yang signifikan ini melihat Malaysia dewasa. Tatkala Malaysia masih si manis 17, aku baru sahaja mengenal erti berbicara, sebaik semakin galak gagah berlari jatuh! Di saat menginjak remaja, aku sempat 'berkampung' di Chow Kit menumpang Bas Mini nombor 11 dan tertawa mendengar celoteh Noramin RMIK di corong radio. Aku sempat merasai saat-saat kegemilangan Dayabumi selaku menara tercanggih di ibukota. Waktu Central Market mula menginjak popularitinya, aku curi-curi menjeling gadis-gadis seusia memperaga keayuan. Kuala Lumpur ketika itu tidak punya banyak hotspot. Yang ada sekadar sekitar Pudu Raya, Kota Raya, Pertama Complex, Chow Kit dan sesekali Bukit Bintang menjadi tempat tumpuan.
Hari ini latar Kuala Lumpur khususnya, dan Malaysia amnya, telah amat jauh berbeza. Tak terhitung perbezaannya jika ingin dinyatakan di dada Traderlog ini. Hanya yang termampu diucapkan.. Alhamdulillah.
Sesungguhnya, aku bertuah kerana berkesempatan ke luar negara sewaktu menjalankan tugas. Antaranya, Kathmandu di Nepal; Karachi, Lahore dan Islamabad di Pakistan; Colombo di Sri Lanka; Jakarta, Surabaya, Medan, Pontianak, Bandung dan Lombok di Indonesia. Sempat juga ke Singapura, Thailand, Macau dan Taiwan. Sekadar menyebut beberapa nama. Sesungguhnya, kita ini warga yang sangat bertuah. Malaysia terlalu berbeza, walau usia kenegaraannya masih terlalu muda berbanding kebanyakan negara-negara yang disebutkan tadi. Malah aku sempat mengimbau di saat aku hampir sujud syukur di lantai KLIA tatkala aku baru sahaja kembali dari Kathmandu suatu waktu dahulu. Kita wajib bersyukur! Sejujurnya, wajar kita mencontohi semangat cintakan negara yang terpamer di setiap warga dan pelosok inci bumi Indonesia tatkala mereka menyambut hari kemerdekaan.. lautan merah putih di mana-mana disambut laungan semangat anak muda pria dan srikandi di kota dan kabupaten. Apakah kita lebih patriotik di saat lidah terlalu malu melaungkan "Merdeka" dan jiwa rasa 'kekampungan' tatkala berbicara tentang jatidiri dan pengorbanan? Mampukah kita dan anak cucu mengisi kemerdekaan ini dengan haknya yang terindah?
Hanya satu yang ku harapkan. Janganlah dipersia-siakan kemerdekaan dan kemakmuran yang sedang dikecapi ini. Semoga kita bersederhana dalam setiap tindakan kita agar hikmah sentiasa menjadi pertimbangan. Jangan sampai menang sorak, tapi kampung tergadai! Nauzubillah..
Malaysia, selamat Hari Merdeka!
Alhamdulillah..
0 Response to "Merdeka!!"
Post a Comment