Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, ku panjatkan setinggi syukur ke hadrat Ilahi. Hari ini Jumaat, tanggal 10 Mei 2013 bersamaan dengan 29 Jamadil Akhir 1434H, aku menerima berita paling gembira hadiah dari ALLAH.
Masih teringat detik-detik di saat isteri tersayang memaklumkan tentang keputusan ujian kehamilan yang dilakukannya di Klinik Dr Siti. Waktu itu kami ke sana untuk mendapatkan ubat demam untuknya pagi tadi.
"Mir!," katanya sambil tersenyum manis. Aku lantas memahami maksud kata-katanya itu.
Sudah 5 minggu rupanya ada 'insan' lain di sisi kami tanpa kami sedari. Demikianlah perancangan ALLAH. SubhanALLAH...
Sesungguhnya, sejak beberapa hari yang lalu aku sedikit kecewa dengan prestasi tradingku. Kemerosotan prestasi terhambat seumpama kekecewaan demi kekecewaan Barcelona sejak kebelakangan ini. Mmm... memang aku peminat fanatik Barcelona!
Namun demikianlah takdir dan kasih-sayang ALLAH. Di saat hati begitu gundah dan lidah sentiasa memohon rezeki, Dia menganugerahiku rezeki terhebat yang paling didambakan bukan sahaja oleh seseorang yang bergelar lelaki, suami dan ayah, namun juga oleh seorang trader. Zuriat!
Alhamdulillah. Terima kasih Ya ALLAH!
0 Response to "Mir!"
Post a Comment