Alhamdulillah. Perjuangan di dada lautan semalam membuahkan hasil yang lumayan. Sedari tengahari selepas solat Jumaat aku telah pun menyinsing lengan mengemudi bot menerjah ombak dan bayu. ALLAH mengizinkanku memenuhi semua objektif yang perlu kugapai semalam. Terima kasih, Ya ALLAH! Sambil tersenyum, aku tiba-tiba terkenangkan 'kehebatan' hari semalam. Bukan kisah 'dunia laut', namun ceritera di 'dunia awam'. Namun pertaliannya tetap terkait sehingga membawa kepada dunia lautku. Kisah hari semalam.
Detik tatkala hujan membasahi saf jemaah tambahan di belakangku, sememangnya sinonim menguji keyakinan dan ketabahan para hambaNya. Aku tersentuh mengenangkan betapa sedikit yang kita usahakan, namun andai cukup tahap keikhlasannya, insyaALLAH Dia mengganjari dengan sebaik-baik ganjaran. In cash!
Sekadar berkongsi, sebenarnya tengahari semalam sebaik azan Jumaat berkumandang, aku seperti biasa bergegas ke masjid berhampiran. Namun sebaik kenderaanku keluar dari pagaran rumah, aku segera menyedari sesuatu yang tidak kena dengan pemanduanku. Jangkaanku tepat apabila di tengah perjalanan, aku mendapati tayar belakang kiri rupa-rupanya hampir pancit. Jam di tangan sewaktu itu sudah hampir 1.25pm. Aduh! Parah juga ni kerana terpaksa membuat pilihan di waktu genting sebegitu. Akhirnya aku redha, menganjak keluar dari jejak asal untuk ke masjid yang jaraknya masih sekitar 3 km. Di seberang jalan, aku terpandang sebuah bengkel kereta bukan Muslim. Perlahan-lahan ku pandu kenderaan ke lokasi itu.
Sesampai di destinasi, ku lihat si mekanik sedang sibuk melayan karenah pelanggan sedia ada. Dia memberikan isyarat kepadaku untuk tunggu sebentar. Sekitar 5 minit kemudian, dia menghampiriku lantas memahami masalahku. Tak sampai 3 minit, masalahku diatasinya. Selepas berterima kasih dan menghulurkan RM5 kepadanya, aku masuk semula ke keretaku. Jam di tangan saat itu sudah hampir 1.40pm. Masih sempatkah? Detik yang sama, rintik hujan mula turun membasahi bumi.
Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk terus juga menuju ke masjid. Jika tak sempat Jumaat, aku akan Zohor sahaja di sana, bisik hati kecilku.
Alhamdulillah! Sebaik tiba di masjid, aku terdengar dari kejauhan khatib masih membacakan khutbah. Sambil berlari-lari anak, aku bergegas ke ruang mengangkat wudhuk. Selesai wudhuk, selesai jugalah khutbah yang kedua. Ruang yang penuh sesak membolehkan aku sekadar mampu bersolat di saf yang paling belakang di kaki lima ruang masjid. Syukur Ya ALLAH! Hujan yang semakin lebat turut tempias dan membasahi lantai sujud. Walau kurang selesa, aku bersyukur masih ada tempat buatku diizinkanNya rukuk dan sujud menghadapNya. Alhamdulillah..
Pun begitu, tatkala aku memberikan salam, baru kusedari ada 'saf' pendek di belakangku di ruang siar tangga yang tidak ditutupi bumbung. Ku terlihat sebarisan lima, enam, anak muda sedang kusyuk menyelesaikan bacaan tahiyyat akhir. Basah kuyup seluruh pakaian mereka. Namun, mereka seakan tidak terkesan langsung dengan basah dan dinginnya tubuh. SubhanALLAH! Terharu sungguh rasanya dengan pemandangan sebegitu. Anak-anak muda yang benar-benar tidak memperdulikan hujan yang begitu lebat semata-mata mengharapkan keredhaan ALLAH. Terfikir aku, betapa 'berkualiti'nya solat mereka. Mungkinkah solat mereka yang paling awal diangkat oleh malaikat ke penghadapan Maha Pencipta?
Tiba-tiba, dalam syukur diberikan tempat tadi, aku jadi cemburu mengenangkan mereka yang dipilih ALLAH berada di 'saf' tersebut. Malu benar rasanya aku pada ALLAH kerana rasa 'bersyukur' memperolehi saf terakhir berbumbung, sedang aku rupa-rupanya tidak layak berada di saf yang jauh lebih 'istimewa' itu. Adakah keselesaan yang ku cari, atau keistimewaan?
Astaghfirullah! Ampuni aku Ya ALLAH!
0 Response to "Keselesaan Atau Keistimewaan?"
Post a Comment